Saturday, March 20, 2010

::tazkirah >assabiah ::


Assabiah melulu membawa kezaliman

MEGA: Apakah yang dimaksudkan dengan assabiah yang merupakan satu perkara yang dilarang oleh Islam? Adakah ia sebagaimana yang difaham daripada pemakaian biasa atau berlainan?

AHMAD HUSNI: Assabiah satu istilah Arab yang diambil dari kata akarnya asaba. Secara literaturnya, ia membawa maksud saudara atau keturunan keluarga dari sebelah bapa. Dinamakan sebegini kerana masing-masing memperkukuhkan kedudukan antara satu sama lain dalam keluarga. Jika dilihat daripada kerangka istilah assabiah bermaksud sokongan sesuatu pihak terhadap puak atau kumpulannya atau keluarganya tidak kira sama ada benar atau salah, ditindas atau menindas.
Penentuan terhadap kumpulan ini boleh berlaku dalam pelbagai ragam sama ada warna kulit, kecenderungan, pola pemikiran, tempat lahir, etnik, kewarganegaraan, mazhab mahupun minat.
Assabiah terhasil dari perasaan 'lebih daripada orang lain' atau takbur sehingga melihat orang yang tidak bersama kita sebagai lebih rendah martabat dan kedudukannya.
Wajah asalnya boleh dilihat menerusi perbualan iblis membantah arahan Allah tatkala diarah sujud (hormat) kepada Nabi Adam a.s dengan katanya: "Apakah aku perlu sujud kepadanya? Engkau jadikan aku daripada api sedangkan dia dijadikan daripada tanah."
Atas dasar inilah Islam memandang serius persoalan Assabiah yang membarahi umat sehingga mampu melumpuhkan kesatuan ummah dan mencacatkan perpaduan sehingga mengubah ukhuwah kepada permusuhan, kasih sayang kepada benci, hormat kepada khianat dan pelbagai bentuk keburukan yang mungkin terhasil.
Hasil daripada pemerhatian, boleh dikatakan pemahaman dan pemakaian terhadap istilah assabiah punya perbezaan, namun konteksnya hampir sama, menghampiri atau mungkin mempunyai ciri-ciri assabiah yang ditegah oleh Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...